Multicursor - Working In Background Fredzelletech: MEDIA SOSIAL ATAU AKHBAR?

MEDIA SOSIAL ATAU AKHBAR?


     Pada zaman yang serba canggih kini, segala maklumat yang kita ingin dapatkan semuanya terletak di hujung jari. Berita, gosip, isu semasa dan sukan kini semuanya boleh dilayari di internet melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Manusia memanfaatkan sepenuhnya gadget-gadget mereka dengan mengambil tahu isu semasa melalui kemudahan internet berbanding mendapatkan akhbar-akhbar yang dijual di pasaran.
Sumber Google
     Penulis Utusan Malaysia Ku Seman Ku Hussain menyatakan penembusan internet di negara ini pada September 2012 sebanyak 67% berbanding 28% pada 2008 telah mewujudkan jurang perbezaan antara media sosial dan akhbar malah jumlah wartawan rakyat (citizen journalist) juga bertambah dengan pantas. Hal ini menyebabkan penjualan akhbar telah menurun dengan ketara. Pengarang Mingguan Malaysia itu juga berkata ‘sekiranya ruang kebebasan akhbar hampir sama dengan media sosial, jangka hayat akhbar mungkin boleh dilanjutkan’.

                                                                    Sumber Google
      Fenomena ini membuatkan saya tertanya-tanya apakah nasib bidang kewartawanan pada suatu hari nanti. Dengan pembangunan dan kemajuan dunia yang semakin pantas, segala yang kita perlukan juga harus pantas. Laporan-laporan terkini dapat diakses melalui internet di mana-mana jua tanpa mengira masa. Dalam hanya satu ‘post’ laman sosial dapat berkongsi artikel, gambar-gambar dan juga video yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh akhbar. Berbanding dengan akhbar, laporan hari ini pasti akan disiarkan pada hari esok dan dikhuatiri akan kurang ‘kehangatannya’. Di televisyen pula, siaran berita pula ditetapkan mengikut waktu dan tidak semua berada di rumah untuk menontonnya.

     Sememangnya tugas media ialah menyampaikan maklumat namun apa yang membezakan Media Sosial dan akhbar adalah kesahihan dan ketepatan maklumat yang disebarkan. Media Tradisional sudah pasti mengalami proses tapisan demi tapisan bagi setiap cerita sebelum ia disampaikan. Wartawan bertanggungjawab mendapatkan dan mengkaji maklumat namun tetap memberi ‘mandat’ kepada Editor untuk membuat sebarang pengeditan. Namun ada juga kes berita yang telah dimanipulasikan oleh pihak wartawan sehingga menyebabkan masyarakat sudah hilang kepercayaan kepada ketelusan maklumat yang disampaikan di media akhbar. Belum lagi bercerita mengenai media pro kerajaan dan pro pembangkang.

      Disebabkan itu, ada di antara kita yang memilih media alternatif yang tidak menyebelahi mana-mana pihak seperti Malaysian Insider dan Malaysia Kini yang boleh dilayari di internet. Berbanding dengan Media Sosial, sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan yang tidak berbayar dan impaknya kita boleh nilai sendiri melalui penyebaran maklumat palsu ketika tragedi MH370 dan MH17. Ada yang benar ada yang salah. Malah Professor Madya dari School of Media and Public Affairs, George Washington University, Janet E. Steele berkata berita dan maklumat di media sosial bukanlah fakta kukuh dan di semak sebagaimana yang di amalkan oleh media tradisional.  Isu-isu semasa yang dimuat naik di media sosial mudah sahaja menjadi viral dan dikongsi bersama rakan-rakan.

     Oleh itu terpulanglah kepada diri masing-masing pilihan media manakah yang menjadi pilihan sebagai sumber maklumat dalam kehidupan seharian. Masing-masing mempunyai pro dan kontranya sendiri. Tepuk dada tanya minda.

  

6 comments:

  1. Pd sy, media sosial memainkn peranan penting dlm memberitakn segala perkara yg brlaku di dunia. Sbgi contoh, jika kita mengambil secara positif penggunaan media sosial utk mengetahui perkembangan luar negara yg mungkin tidak dilaporkn dlm negara, ini sedikit sebanyak akan menjd platform kpd kita utk mndptkn maklumat. Tetapi harus diingat bahawa citizen journalist ini juga mempunyai keburukan nya, kerana kita tidak pasti akan kesahihan berita yg disampaikn kerana konsep citizen journalist itu sendiri yg mempunyai kuasa bebas dlm melaporkn sesuatu.

    ReplyDelete
  2. Manusia kini lebih bergantung kepada gajet berbanding televisyen dan akhbar kerana gajet mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Semuanya terletak di hujung jari. Kini, tidak kira tua atau muda, semua tidak ketinggalan untuk menggunakan gajet sebagai medium utama untuk bersosial, berpolitik dan sebagainya. Penggunaan medium ini sangat sesuai dengan orang yang bekerjaya kerana dapat menjimatkan masa serta wang
    ringgit. Jika menggunakan medium ini, isu-isu politik, ekonomi dan sosial tersebar luas dan cepat. Maka, semua orang boleh berkongsi idea dan pandangan mereka melalui media sosial sahaja.

    ReplyDelete
  3. bagi saya pendapat saya penggunaan media sosial dalam mendapat sumber maklumat pada masa kini adalah lebih relevan berbanding dengan penggunaan akhbar. tambahan pula terdapat juga akhbar online bagi memudahkan para pembaca mendapatkan maklumat tanpa sebarang masalah dan dimana sahaja. penggunaan akhbar secara bercetak pada masa kini mungkin berfokus kepada golongan pertengahan umur dan juga mereka yang lebih berusia secara santai, berbanding dengan golongan muda dan juga mereka yang berkerjaya yang sentiasa sibuk. oleh yang sedemikian penggunaan media sosial ini adalah pilihan terbaik dalam mendapatkan segala informasi tanpa perlu mencari kahbar cetak. bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan juga masa malahan dapat memelihara alam sekitar dengan penggunaan kertas yang terhad.

    ReplyDelete
  4. saya setuju dengan pendapat saudari rynna purple, manusia pada masa kini terlalu bergantung kepada gadget tetapi kekadang manusia kini sudah menjadi hamba kepada gadget. pada pendapat saya, media sosial digunakan sebagai medan untuk mendapatkan maklumat tidak sesuai sebab tidak semua maklumat yang disampaikan oleh media sosial mempunyai kesahihan. hal ini disebabkan, terdapat pihak yang suka menviralkan perkara yang tidak tahu kesahihannya. Maka susah untuk mempercayai perkara tersebut.

    ReplyDelete
  5. pada saya kedua-dua medium amat penting dalam kehidupan seharian kita.tetapi yang membezakannya adalah gaya hidup masyarakat sekarang yang telah berubah daripada cara tradisional kepada cara yang lebih moden lagi. bagi yang masih mengamalkan gaya hidup lama sudah semestinya akhbar menjadi pilihan mereka. sebaliknya bagi mereka yang mengamalkan gaya hidup moden dan mewah sudah semestinya mereka akan memilih media sosial untuk mereka berhubung dan mendapatkan maklumat.hal ini terpulang pada kesesuaian hidup masing- masing dan ingin saya tegaskan disini medium yang lama tidak boleh dilupakan begitu sahaja malah harus dipertahankan dan dikekalkan keasliannya.

    ReplyDelete
  6. Pandangan saya media sosial lebih produktif daripada media tradisional.media tradisional biasanya akan menapis segala berita yang akan disampaikan berbeza dengan media sosial. Namun, kita tidak boleh percaya 100% dengan media sosial kerana kadangkala sesuatu maklumat adalah tidak benar atau telah ditokok tambah.

    Saya sebagai seorang pelajar lebih banyak menggunakan media sosial kerana berita-berita tentang sesuatu lebih mudah diperoleh dan menjimatkan masa.

    ReplyDelete